Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.ir) - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan seorang lagi rakyat Malaysia dipercayai maut dalam peperangan di Syria.
“Saya pernah menyebut (dalam Dewan Rakyat) seorang pengebom berani mati dari Malaysia telah menyebabkan 25 anggota askar Syria terbunuh. Saya tak sebut seorang lagi yang berkemungkinan besar rakyat Malaysia tetapi menggunakan nama samaran.
“Pengebom berani mati ini mendatangkan kesan lebih dahsyat iaitu menyebabkan 50 orang terbunuh dalam letupan yang dilakukan,” katanya ketika berucap dalam perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra di sini Isnin lalu.
Walau pun berita tersebut tidak dapat disahkan kebenarannya, Najib menegaskan seramai 39 rakyat Malaysia terlibat dengan kumpulan pengganas ISIS manakala 40 lagi sempat ditangkap dan dibicarakan.
Dalam perkembangan tersebut, Ahmad Affendi yang menemui ajal di Syria berasal dari Tumpat, Kelantan.
Pemuda yang hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah berlepas ke Syria pada 23 April lalu dan terlibat dalam kegiatan keganasan ISIS.
Ahmad Affendi yang masih bujang difahamkan maut dalam serangan bunuh diri apabila sengaja mengemudi sebuah trak yang sarat dengan bahan letupan dan merempuh tentera Bashar Assad di bandar Homs pada 8 atau 9 November lalu.
Dalam pada itu, Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yakin, pihaknya mempunyai beberapa petunjuk yang mengaitkan tragedi itu dengan seorang rakyat Malaysia.
“Berdasarkan risikan yang diperoleh pihak polis, kami mengesakan bahawa Ahmad Affendi terbunuh dalam insiden terbabit,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Pihak berkuasa Malaysia kini bertindak tegas terhadap kegiatan pengganas yang merekrut rakyat tempatan untuk berperang di Syria dengan memburu semua anggota ISIS sambil mengistiharkan pertubuhan itu sebagai pengganas.
10 Disember 2014 - 05:15
News ID: 657172
Ahmad Affendi Manaff dipercayai maut di Syria setelah menjadi pengebom bunuh diri.